Ucapan Aluan Puan Guru Besar




Assalamualaikum Dan Salam 1 Malaysia.

Terlebih dahulu ucapan terima kasih atas usaha yang berterusan semua guru dan kakitangan bagi melaksanakan program-program yang telah dirancang sepanjang tahun yang lalu.Diharapkan usaha sedemikian dapat diteruskan pada tahun ini.

Tahun ini merupakan tahun yang penuh cabaran kerana ia merupakan tahun terakhir untuk mencapai visi sekolah sebagai sebuah sekolah cemerlang dan terbilang menjelang tahun 2010. Keputusan UPSR yang lalu telah menunjukkan satu peningkatan yang amat memberangsangkan. Kita tidak mahu kelancaran pergerakan ke arah kecemerlangan ini terganggu pada tahun ini. Usaha dan perancangan yang strategik , persediaan pelajar dan sikap guru hendaklah berada di tahap maksimum. Tiada lagi matlamat lain yang hendak kita capai selain daripada mencapai matlamat dalam visi sekolah kita.

Tahun ini bermula dengan semangat yang berada di kemuncak. Pelajar-pelajar tahun 6 yang berada pada tahap sederhana akan memberikan cabaran yang lebih pada semua guru pada tahun ini. Komitmen yang ditunjukkan pada tahun lepas perlu lebih diperkukuhkan lagi kerana cabaran yang datang adalah lebih hebat. Kita mendapat pelajar yang mempunyai keupayaan yang berbeza-beza , sedangkan kita memerlukan peningkatan prestasi berterusan. Ini menunjukkan betapa besar cabaran yang dipikul oleh guru-guru.

Ko-kurikulum dan Ko-akademik juga perlukan komitmen yang tinggi daripada semua guru. Pada tahun ini tidak menampakkan kejayaan yang cemerlang dicipta di dalam bidang ini. Usaha ke arah ini perlu digembeling dengan giat untuk memperkasakan sekolah kita sebagai sekolah yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga dapat melahirkan pelajar yang berjaya dalam pelbagai lapangan termasuk sukan. Usaha ke arah itu telah menampakkan hasil , misalnya dengan penubuhan pasukan catur sekolah diharap akan dapat melahirkan ramai pelajar yang berbakat dalam sukan ini. Cuma apa yang diperlukan ialah kerja keras guru agar apa yang dirancang dapat direalisasikan sepenuhnya pada tahun hadapan.

Pembentukan sahsiah pelajar juga tidak dilupakan. Pencapaian akademik yang cemerlang perlu disusuli dengan sahsiah yang baik. Ini akan membawa makna yang sebenar sebagai sekolah yang cemerlang. Pengurusan bilik darjah juga perlu diberi keutamaan. Dengan motto “KELASKU CERIA” , diharapkan pengurusan bilik darjah dapat dipertingkatkan. Gerak kerja guru dan kakitangan yang cemerlang dan profesional akan membantu menentukan kejayaan sekolah. Oleh itu , guru dan kakitangan harus bersedia untuk memajukan diri dalam apa jua kemahiran. Ini akan membantu kita menghadapi cabaran yang lebih hebat pada masa akan datang.

Semoga visi yang ingin dicapai sebagai sebuah sekolah yang cemerlang dan terbilang berdasarkan motto ” Sekolah Cemerlang dan Terbilang menjelang 2010″ menjadi kenyataan.

SEKIAN , SALAM 1 MALAYSIA
.